Soalan:

Seorang pesakit yang menerima rawatan doktor memerlukan penyaluran air ke dalam tubuh badan (drip) secara berterusan semasa berada di Tanah Suci. Walaupun pesakit telah sihat, pihak perubatan/doktor masih mengekalkan jarum dn plaster yang melekat pada tangan si pesakit sebagai kemudahan pihak perubatan memberikan rawatan segera andaikata penyakit yang dihidapi berulang. Dalam keadaan tersebut si pesakit berkemampuan untuk menunaikan ibadat seperti sembahyang dan sebagainya.

Jawapan:

الحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ مُسْتَمِدًّا مِنْهُ التَّوْفِيْقِ لِلصَّوَابِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ وَاْلآلِ وَاْلأَصْحَابِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانً إِلَى يَوْمِ الْمَآبِ، أَمَّا بَعْدُ
Pesakit yang memerlukan penyaluran air ke dalam tubuh badan (drip) melalui tangannya boleh dikategorikan sebagai anggota yang berbalut yang dikenali juga dengan istilah Al-Jabirah.

Wudhu Orang Yang Berbalut Atau Berplaster Anggota Wudhunya

Sekiranya anggota seorang yang sakit itu perlu dibalut dengan sesuatu seperti kain, plaster, simen atau seumpamanya dan jika dibuka balutan tersebut ditakuti akan memudharatkannya, maka dalam hal ini wajib dia melakukan tiga perkara jika dia hendak mengangkat hadas kecil (berwudhu) iaitu:

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut atau berplaster, termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan juga anggota-anggota wudhu yang lain.

2. Menyapu semua balutan yang membalut bahagian anggota wudhu dengan air sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit (sihat) yang ditutupi oleh pembalut.

Jika sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi kecuali pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, jika sekiranya dia berdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang ditutupi oleh pembalut atau plaster, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air.

Waktu menyapu balutan atau plaster tersebut ialah apabila tiba masa membasuh anggota yang berbalut atau berplaster (dengan benar-benar mengikut tertib wudhu), kerana tertib adalah di antara rukun wudhu dalam mazhab Syafi’e. Contohnya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dia membasuh muka terlebih dahulu, kemudian membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut dan selepas itu barulah menyapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki.

3. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sebagai ganti membasuh anggota wudhu yang berbalut yang tidak boleh terkena air.

Demi memelihara tertib, waktu bertayammum itu ialah apabila tiba masa membasuh anggota wudhu yang berbalut sama ada sebelum atau selepas dia membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut, tetapi yang lebih utama dia bertayammum dahulu sebelum membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut untuk menghilangkan kesan debu tanah. Ini beerti jika anggota wudhu yang berplaster itu pada muka, maka hendaklah dia bertayammum, kemudian membasuh dan menyapu anggota yang berbalut itu terlebih dahulu sebelum dia membasuh dua tangan. Ataupun jika anggota wudhu yang berplaster itu pada tangan, maka hendaklah dia bertayammum, membasuh dan menyapunya terlebih dahulu sebelum dia menyapu kepala dan begitulah seterusnya.

Apabila terdapat dua anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayammum, jika tiga anggota wudhu yang berbalut maka diowajibkan juga tiga tayammm, dan jika empat anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga empat tayammum iaitu jika balutan itu tidak meliputi keseluruhan anggota wudhu, di mana hanya bahagian-bahagian yang tertu dari anggota wudhu sahaja yang berbalut kecuali kepala. Umpanya, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayammum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayammum. Ataupun separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi seluruh kapala terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayammum.

Apabila seseorang itu telah melakukan tiga perkara tersebut, maka dibolehkan baginya mengerjakan hanya satu sembahyang fardhu atau satu tawaf sahaja. Jika dia ingin mengerjakan satu sembahyang fardhu yang lain atau satu tawaf fardhu yang lain sedangkan wudhu dan tayammumnya yang terdahulu itu belum terbatal, maka tidak perlu membasuh anggota wudhu dan menyapu balutannya sekali lagi, kerana dia masih kekal di dalam suci. Cuma dia hanya wajib bertayammum sahaja kerana satu tayammum hanya terbatas kepada satu ibadat fardhu sahaja. Menurut Imam ar- Ramli Rahimahullah, adalah memadai melakukan satu tayammum sahaja sekalipun pada asalnya dia dituntut melakukan beberapa kali tayammum kerana terdapat dua atau lebih anggota wudhu yang berbalut/berplaster. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah pula, hendaklah dia bertayammum sebanyak mana dia dituntut melakukan tayammum pada asalnya. Tetapi jika dia berhadas, maka hendaklah dia mengulangi tiga perkara yang tersebut di atas.

Oleh kerana anggota yang berbalut/berplaster itu adalah tangan yang merupakan anggota wudhu, maka terdapat kekurangan pada wudhu, kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan balutan/plaster yang menutupinya. Tambahan lagi tangan yang berbalut/berplaster itu juga adalah merupakan anggota tayammum, maka terdapat juga kekurangan pada tayammum. Ini bererti pengganti (tayammum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu) itu pun kurang. Oleh itu, orang yang mengangkat hadas kecil (berwudhu) dengan cara demikian, ada yang dikehendaki mengulang atau mengqhada sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dikerjakannya selama dia memakai balutan atau plaster tersebut apabila dia sudah sembuh. Mereka yang dikehendaki mengulangi atau mengqadha itu adalah di dalam tiga keadaan berikut:

1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sama ada diletakkan pembalut ataupun plaster itu ketika dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.

2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki, tetapi balutan atau plaster itu dipakai ketika dalam keadaan berhadas dan pembalut atau plaster itu menutupi bahagian yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut itu.

3. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan untuk mengikat pembalut.

Manakala orang yangtidak dikehendaki mengulang atau mengqadha sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dilakukannya itu adalah di dalam dua keadaan berikut:

1. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu pula tidak menutupi anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster, sama ada diletakkan balutan atau plaster itu ketika suci daripada hadas ataupun ketika berhadas.

2. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu menutupi bahagian yang tidak sakit hanya sekadar bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster serta diletakkan atau dipakai balutan atau plaster itu ketika dalam suci (tidak berhadas). (Al-Majmu’: 2/369-374 dan Fath al-‘Allam: 1/455, 457-460).

Praktikal satu persatu wudhu orang yang berbalut/berplaster anggota wudhunya di tangan:

1. Apabila dia hendak mengambil wudhu, pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu seperti biasa iaitu dimulakan dengan membasuh muka disertakan dengan niat.

2. Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, kemudian menyapu bahagian tangan yang berbalut tau berplaster dengan air.

3. Selepas itu bertayammum dengan debu tanah, iaitu dengan meletakka atau menepuk kedua tapak tangan dalam keadaan kering di atas debu, kemudian memindahkan debu ke muka sambil berniat, lalu menyapu muka. Selepas itu, letakkan atau tepuk kedua tapak tangan di atas debu sekali lagi, kemidian memindahkan debu tersebut ke tangan, lalu menyapu kedua tangan hingga ke siku.

4. Ataupun boleh juga dilakukan, selepas membasuh muka disusuli dengan bertayammum sebagai ganti membasuh tangan yang berbalut atau berplaster dan hendaklah tangan itu kering, kemudian diikuti membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, seterusnya menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air.

5. Kemudian menyapu kepala, dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki serta dua buku lali.